Páginas

CGC sedia RM100 juta bantu pemborong, peruncit PKS

CREDIT Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) menyediakan dana RM100 juta untuk disalurkan kepada peniaga kecil dalam sektor pemborongan dan peruncitan di bawah skim pembiayaan barunya, Enhancer Express.

Skim yang diwujudkan sebagai pelengkap kepada skim Enhancer sedia ada itu menawarkan kemudahan pembiayaan daripada RM50,000 hingga RM100,000, dengan lindungan jaminan sebanyak 70 peratus.

Ia dibuka kepada perniagaan kecil yang beroperasi lebih daripada tiga tahun dengan peminjam hanya dikenakan yuran jaminan tetap 4.5 peratus setahun, lebih rendah berbanding maksimum 5.75 peratus setahun bagi skim lain yang ditawarkan CGC, yang dikira berdasarkan profil risiko individu peminjam.

Permohonan bagi skim itu dibuka melalui institusi kewangan di seluruh negara bermula semalam bagi tempoh selama tiga bulan atau apabila jumlah kelulusan pinjaman sudah mencapai jumlah RM100 juta.

Pengarah Urusan CGC, Datuk Wan Azhar Wan Ahmad, berkata skim Enhancer Express itu diperkenalkan sejajar usaha kerajaan meningkatkan lagi sumbangan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Enhancer Express direka khusus untuk meluaskan jangkauan CGC kepada PKS dengan mempercepatkan tempoh pemprosesan dan kelulusan pinjaman menerusi langkah memudahkan urusan dokumen institusi kewangan dan CGC.

“Ciri menarik ini bakal memberikan manfaat kepada peniaga dan institusi kewangan, kami berharap dapat menarik minat lebih ramai peniaga untuk memohon bagi membantu meningkatkan lagi promosi pembangunan komuniti peniaga kecil,” katanya.
CGC menyediakan kemudahan kredit kepada PKS yang kekurangan atau tiada cagaran mencukupi dan rekod prestasi, ketika ini sudah memberikan jaminan bernilai hampir RM47 bilion kepada lebih daripada 400,000 PKS tempatan.

sumber: CGC

No comments: