Páginas

Showing posts with label Kisah Usahawan. Show all posts
Showing posts with label Kisah Usahawan. Show all posts

Usahawan Tudung

BUTIK ARIANI

Farah Enggan Goyang Kaki

Ketika melangkah masuk ke Wisma Jakel di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur, kelibat seorang gadis ayu bertudung persis seorang model asyik menggunting kain. Selepas itu dibeleknya kain dan tudung satu persatu.

Setiap pelanggan di depan matanya pula pasti tidak terlepas daripada sapaannya – sama ada bertanyakan apa dicari atau meminta kakitangan Jakel membantu pelanggan tadi.

Malah, boleh dikatakan setiap saat atau detik, wanita cantik itu tidak duduk diam, ada saja kerja atau aktiviti dilakukannya.

Begitulah rutin harian Farah Haryani Muhammad Philip, pemilik Butik Ariani yang terkenal dengan tudung
Ekin (isteri kepada penyanyi Mawi itu dilantik sebagai Duta Ariani) apabila sibuk menguruskan perniagaannya bersama suami, Mohamed Faroz Mohamed Jakel yang juga Pengarah Urusan Jakel.

Sebagai wanita bertuah yang bersuamikan usahawan terkemuka dalam bidang fabrik, situasi itu membolehkannya duduk di rumah dan ‘goyang kaki’.

Namun kata ibu kepada dua cahaya mata itu, beliau sedar dirinya bukan daripada keluarga mewah dan bukan juga hidup susah, kerana itu dia perlu bekerja keras.

“Hidup saya adik-beradik sederhana saja. Meskipun ayah meninggal ketika usia enam tahun, ibu banyak berkorban mencari rezeki dan membesarkan kami.

“Kini, suami pula bekerja keras untuk saya sekeluarga. Dia memang kuat bekerja tetapi tidak abaikan saya dan anak. Lagipun, saya bosan duduk rumah. Jika tolong suami, masa terluang dapat diisi,” katanya.

Ditanya tidakkah statusnya sebagai isteri kepada ‘bos besar’ atau orang nombor satu dalam Jakel merendahkan martabatnya apabila bekerja seperti kakitangan lain, Farah berkata, dia tidak berfikiran begitu.

“Pernah ada pelanggan yang tahu saya isteri Faroz bertanya kenapa saya perlu bekerja lagi, tetapi saya jawab, saya lebih suka begini (bekerja seperti kakitangan lain).

“Sebenarnya, saya tidak diajar untuk mendesak atau menuntut kemewahan. Saya sedar saya bukan daripada keluarga senang, tetapi kesukaran ibu membesarkan kami memberi pengajaran berguna kepada saya,” katanya merendah diri.

Di syarikat, Farah lebih selesa menggelar dirinya ‘Kak Farah’ atau ‘Farah’. Meskipun tidak dinafikan ada keistimewaan sebagai isteri orang nombor satu, termasuk waktu bekerja, Farah pulang ke rumah apabila operasi perniagaan tamat jam 8.30 malam – seperti kakitangan lain.

“Saya ke kedai jam 10 atau 11 pagi sehingga kedai tutup. Sabtu dan Ahad pula bukan waktu cuti kerana pada hari itu ramai pelanggan. Cuti saya antara Isnin hingga Jumaat.

“Suami pula memang sibuk dan kerap berulang-alik dari Segamat, Johor ke Kuala Lumpur, manakala saya lebih banyak masa di sini. Begitupun, bila ada kerja luar, kami pergi bersama dan bawa anak. Jadi, masa itu masa kami sekeluarga,” katanya.

Menurutnya, dia bahagia dengan kehidupannya hari ini, apatah lagi didedahkan dengan keadaan itu sejak kecil.

Farah berkata, selepas bapanya, Muhammad Philip Abdullah, meninggal dunia, mereka adik-beradik dibesarkan ibu, Khuzaimah Abdullah hasil peninggalan ladang kelapa sawit bapanya di Batu Pahat.

“Ayah meninggal kerana sakit tua, namun dia ada ladang kelapa sawit. Ketika ayah bekerja sebagai pengurus lombong di Seri Medan, kami sekeluarga hidup sederhana.

“Namun selepas ayah tiada, emak terpaksa ambil alih tanggungjawab ayah. Daripada tiada lesen memandu, emak berjaya memperolehnya.

“Mengenai akademik, emak mementingkannya, malah dia tidak membenarkan saya bekerja meskipun ketika menuntut di universiti kerana mahu saya belajar, walaupun dia tidak berpendidikan tinggi,” katanya yang menjadikan ibunya sebagai idola.

Berikutan penekanan diberi ibunya, Farah cemerlang dalam akademik sehingga berjaya memasuki Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan mengambil jurusan Pengajian Bahasa Inggeris.

“Sejak kecil hingga besar, saya dididik untuk belajar sama ada mengaji, pergi tuisyen dan sekolah agama. Rotan perkara biasa kerana emak mahu kami berjaya. Berkat didikan emak, saya berjaya ke UTM dan layak mengambil bidang kejuruteraan, namun kerana emak minat perguruan, saya ambil bidang itu,” katanya.

Selepas tamat pengajian, Farah bergelar pendidik dan ketika menunggu penempatan, dia berkenalan dengan Mohamed Faroz pada 2002 sebelum kedua-duanya mengambil keputusan berkahwin pada 2003.

Selepas berkahwin, Farah bertugas sebagai guru Bahasa Inggeris di Sekolah Tinggi Segamat dan pada masa sama membantu syarikat suaminya.

“Cuti sekolah atau hujung minggu, saya bantu suami di kedai. Lama kelamaan timbul minat dalam bidang ini dan pada 2007, saya ambil keputusan berhenti kerja.

“Pada mulanya berbelah bagi juga, tetapi saya nekad dan yakin dengan keputusan dibuat. Kebetulan selepas berhenti, cawangan di Masjid India ini dibuka dan saya bantu suami menguruskan kerja di sini,” katanya.

Dalam pada sibuk bekerja, terdetik idea untuk Farah menghasilkan tudung. Katanya, ramai wanita yang memakai tudung mahu kelihatan cantik tetapi tidak tahu caranya.

Pada 2008, lahir Butik Ariani dengan pelbagai koleksi tudung, terutama yang menjadi jenamanya, Tiara. Meskipun boleh dikatakan baru setahun jagung, lebih 200 koleksi atau jenis tudung dijual dan butik itu semakin dikenali ramai.

Profil Usahawan Kreatif


NAMA : Farah Haryani Muhammad Philip

USIA : 29 tahun

LAHIR : 27 Mei 1980 di Batu Pahat, Johor

JAWATAN : Pemilik Butik Ariani

SUAMI : Mohamed Faroz Mohamed Jakel

ANAK : Shierryn Badrisyea (5) dan Muhammad Farhan (3)

PENDIDIKAN : Sekolah Rendah Kebangsaan Seri Medan, Batu Pahat; Sekolah Perempuan Temenggong Ibrahim dan Ijazah Sarjana Muda (Bahasa Inggeris) Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

ADIK-BERADIK : Anak kedua daripada tiga orang

Tips Usahawan Kreatif
Cari Fabrik Terkini Ketika Melancong

Meskipun tiada pengalaman dalam bidang rekaan tudung atau fesyen, kelahiran Butik Ariani boleh dikatakan membawa sentuhan terkini atau eksklusif kepada pemakainya.

Bagi Farah, impiannya hanya untuk melihat wanita bertudung kelihatan cantik dan bergaya tanpa perlu berbelanja besar atau mendapatkan koleksi dari luar negara.

“Jika boleh, saya mahu mempelbagaikan gaya tudung untuk wanita Muslimah supaya mereka kelihatan cantik dan bergaya.

“Meskipun tiada pengalaman secara langsung dalam bidang ini, saya bersyukur kerana ada pereka dalaman yang berpengalaman luas dan banyak membantu,” katanya.

Selain tudung, Butik Ariani yang wujud pada 2008 dengan menyediakan lebih 200 rekaan turut mengeluarkan selendang dan pakaian Muslimah.

Koleksi Ariani diperbuat daripada fabrik yang diimport dari Itali, Jerman, Perancis dan Turki yang terkenal dengan bahan berkualiti tinggi.

Farah berkata, koleksi Ariani boleh dikatakan istimewa dan eksklusif berdasarkan faktor kehalusan jahitan, kualiti, ketahanan rekaan serta rekaannya yang berbeza.

Dengan harga serendah RM39 sehingga RM300, pelanggan khususnya wanita boleh memilih pelbagai rekaan atau jenis tudung diminati. Malah, mereka yang membeli kain di Jakel dan mahu koleksi tudung sama seperti warna kain boleh membuat tempahan di Butik Ariani.

“Kami turut menyediakan tempahan bagi mereka yang berminat mencari tudung yang sama dengan kain dibeli. Rekaan bergantung kepada kehendak pelanggan,” katanya.

Farah berkata, dia berusaha membawa fabrik bermutu dan berkualiti, termasuk dari luar negara, supaya wanita di negara ini seiring dengan kemajuan fesyen terkini.

“Setiap kali ke luar negara, kami pasti mencari fabrik bermutu untuk dibawa ke negara ini, malah ketika bercuti atau melancong pun, kami tidak terlepas daripada bekerja iaitu mencari fabrik terkini untuk syarikat,” katanya.

Selain menerima tempahan, pelanggan yang mengunjungi Butik Ariani berpeluang mendapat tunjuk ajar atau teknik dan cara pemakaian tudung selain nasihat daripada segi pemilihan tudung yang sesuai.

Butik berkenaan turut menyediakan koleksi menarik daripada jenama Valentino, Aker, Armine, Akel, Bona, Isadora, Sera, Ungaro, Pierre Cardin, Tiara Exclusive dan Tiara Diamond.

Mengenai pemilihan Ekin sebagai Duta Butik Ariani, Farah berkata, sejak tampil bertudung, Ekin semakin popular dan apa juga yang gaya atau disarungkan isteri Mawi itu mendapat perhatian masyarakat.

Petikan Metro Ahad

Usahawan 1



Gelaran doktor atau ‘doc’ pada pangkal namanya mengundang pelbagai reaksi berbeza di kalangan pelanggan hinggakan ada yang melabelnya sebagai pakar pencetak pakaian.

Tidak kurang juga beranggapan beliau hanya ‘syok sendiri’ kerana sengaja meletakkan gelaran itu selepas cita-cita ingin menjadi doktor tidak kesampaian.

Namun pada hakikatnya beliau memang doktor veterinar bertauliah kelulusan Universiti Putra Malaysia (UPM) tetapi terpaksa beralih arah karier selepas impian membuka ladang ternakan tidak kesampaian.
“Impian itu saya simpan sejak di tingkatan dua, namun terpaksa saya lupakan selepas menyedari bidang itu memerlukan modal besar dan saya tidak mahu menyusahkan keluarga,” kata Dr Wan Hasnan Wan Idris, 36.

Menurutnya, selepas gagal merealisasikan impian sebaik menamatkan pengajian di UPM pada 1997 dalam bidang Doktor Perubatan Veterinar, beliau sekadar menjual serunding daging di sekitar pasar malam di Kuala Lumpur bagi mencari sumber kewangan.

Bagaimanapun usaha niaga beliau cuma bertahan beberapa bulan sebelum Dr Wan Hasnan pulang ke Kelantan dan beralih pula kepada perniagaan yang tidak pernah terlintas di fikirannya, iaitu membuka kedai mencetak pakaian.

“Terus terang, ketika itu saya tidak tahu apa-apa mengenai bidang itu tapi percaya ia ada potensi besar untuk maju. Oleh itu, didorong semangat tidak mahu dilabel sebagai graduan menganggur, saya nekad mencuba perniagaan itu.

“Pada peringkat awal perniagaan itu saya usahakan di rumah ibu bapa saya di Pengkalan Kubor, Tumpat dengan modal permulaan cuma RM500.

“Untuk mendapat pelanggan pula saya pergi dari rumah ke rumah bagi mengambil upah mencetak pakaian pelajar sekolah, kolej dan universiti.

“Pada awalnya mereka hanya membuat tempahan sehelai dua baju kerana tidak yakin dengan perniagaan saya. Namun selepas berpuas hati dengan hasil kerja saya mereka terus menempah sehingga 50 hingga 100 helai.

“Pelanggan suka produk saya kerana bahan digunakan berkualiti serta tahan lama manakala caj dikenakan murah,” kata anak muda itu yang pernah meraih gelaran Anugerah Usahawan Muda Mara bagi Sektor Pembuatan dua tahun lalu.

Itu pengalaman awal dilalui oleh Dr Wan Hasnan ketika mengasaskan perniagaannya dan kini selepas kira-kira 10 tahun bekerja keras syarikatnya, Docnan Industries Sdn Bhd (DISB) berkembang pesat.

DISB didaftarkan pada 17 April 2003 iaitu kesinambungan daripada Docnan M&M Enterprise yang memulakan operasi pada akhir 1999. Syarikat itu beroperasi sepenuhnya di Jalan Pengkalan Chepa, Tanjong Mas, Kota Bharu dan mempunyai dua cawangan di Tanah Merah.

Dengan aset membabitkan 20 mesin percetakan terkini dan 80 pekerja, DISB kini berupaya mengeluarkan pelbagai produk termasuk pakaian, cenderamata, beg, alat tulis, lencana, topi, barangan keperluan sekolah, banner dan banting.

Terbaru DISB menerusi anak syarikatnya, Dr Beg Industries turut melakukan cetakan pada beg pelbagai saiz dan jenis dalam usaha mempelbagaikan produk keluarannya.

Bagi mengembangkan empayar perniagaannya, pada 2003, bapa lapan anak itu berjaya mendapatkan pinjaman RM215,000 daripada Mara untuk dijadikan modal pusingan serta membeli mesin sulam pertama berharga RM115,000 selain menyewa dua lot kedai dan sebuah kilang jahitan.

Dr Wan Hasnan yang kini bergelar Pengarah Urusan DISB berkata apa yang dicapainya kini adalah bukti golongan Bumiputera turut mampu bersaing dalam perniagaan mencetak pakaian biarpun berdepan pelbagai halangan dan kesukaran.

“Disebabkan tiada pengetahuan mengenai percetakan pakaian, pada peringkat awal saya terpaksa belajar menerusi buku dan Internet selain mendapat tunjuk ajar daripada rakan lebih berpengalaman.

“Kekurangan modal menyebabkan saya tak mampu mengiklankan syarikat saya di media. Jadi, medium saya mempromosi produk ialah di ekspo dan karnival.

“Malah pada peringkat awal saya juga terpaksa berhutang dengan kawan dan keluarga hanya untuk membeli sebuah mesin menghasilkan butang lencana berharga RM1,800. Hasil semua kepayahan itulah saya memiliki apa yang saya ada hari ini,” katanya.

Dr Wan Hasnan berkata, beliau kini puas hati kerana produk keluaran Docnan bukan saja mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan di Kelantan tapi juga menjadi sebutan di kalangan pengguna di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Negeri Sembilan.

Di sebalik kejayaan diciptanya, anak kedua daripada tiga beradik itu tidak pernah lupa pesanan ibunya, Hanisah Yaacob, 65 dan bapa, Wan Idris Wan Hamat, 63, yang mahu beliau sentiasa bersyukur serta tidak mudah lupa diri.

“Sebab itu saya sentiasa mengingatkan kakitangan DISB supaya menjalankan kerja dengan jujur dan amanah, termasuk memberi khidmat terbaik kepada pelanggan bagi memastikan pelanggan tidak ‘berpaling tadah’ kepada syarikat lain,” katanya.

Profil Usahawan Kreatif

Nama : Dr Wan Hasnan Wan Idris

Jawatan : Pengarah Urusan Docnan Industries Sdn Bhd

Umur : 36 tahun

Asal : Tumpat, Kelantan

Pendidikan : Ijazah Doktor Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Isteri : Ayudalita Abdullah

Anak : Nur Afikah (12); Muhammad Rizqan (10); Muhammad Iqbal (8); Hana Umairah (6); Muhammad Ridhwan (5); Farah Najihah (3); Raihan Amani (setahun setengah) dan Muhammad Firdaus (tiga bulan)

Anugerah : Anugerah Usahawan Muda Mara (Sektor Pembuatan) Peringkat Kebangsaan 2007, Anugerah Usahawan Muda Mara 2006 (Sektor Pembuatan) Peringkat Kelantan dan Penyewa Terbaik Premis Perniagaan Mara Peringkat Kelantan 2001

Tips Usahawan Kreatif

Guna Mesin Cetak Digital
DISB maju selangkah lagi dalam operasinya apabila bakal melabur RM1.5 juta bagi membawa masuk mesin digital berteknologi tinggi ke negeri ini yang akan digunakan untuk mencetak terus pada kain sutera, batik dan linen.

Apabila memperoleh mesin itu kelak yang dijangka beroperasi sepenuhnya awal tahun depan, DISB akan menjadi syarikat percetakan pakaian terulung di Kelantan yang menggunakan mesin percetakan digital itu.

“Sebelum ini mesin itu hanya digunakan di negara maju selain Korea Selatan, China dan Jepun. Kelebihannya ialah saya boleh memberi pelanggan kebebasan memilih jenis cetakan pada kain sutera, linen atau batik mengikut selera masing-masing dengan kadar harga berpatutan,” katanya.

Sebagai langkah permulaan, Dr Wan Hasnan turut mewujudkan satu butik khusus iaitu koleksi linen dan batik di kedai pamerannya di Tanjung Mas di Jalan Pengkalan Chepa dalam usaha memperkenalkan produk berkenaan kepada pelanggannya.

Bagi memastikan perjalanan operasi DISB berjalan lancar, Dr Wan Hasnan juga akan membina bangunannya sendiri yang membabitkan tiga lot kedai dengan keluasan 9,000 kaki persegi yang dijangka siap sepenuhnya Ogos tahun depan.

Ditanya mengenai misi dan visi syarikatnya, Dr Wan Hasnan menjelaskan, khidmat terbaik sebelum dan selepas kepada pelanggan adalah ‘senjata’ paling utama yang menjadi pegangannya sebaik memulakan perniagaan itu.

Namun Dr Wan Hasnan berkata, visi syarikat sebenarnya ialah menjadikan DISB sebagai syarikat Bumiputera terbesar dalam pengeluaran pakaian, beg, cenderamata serta pusat sulaman berkomputer dan silkscreen di Pantai Timur menjelang 2010.

“Misi syarikat pula ialah sentiasa menyediakan produk serta rekaan terbaru yang penuh meyakinkan dan inovatif selain mengekalkan mutu dan kualiti perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

“Saya yakin kombinasi kakitangan berpengalaman serta mesin terbaik mampu memenuhi visi dan misi syarikat dalam menghadapi persaingan yang semakin sengit,” katanya yang turut meletakkan sasaran untuk menguasai pasaran Pantai Timur dengan membuka cawangan di Kuala Terengganu dan Kuantan dalam masa beberapa tahun akan datang.

Bagi memantapkan operasi perniagaan selain ingin memudahkan orang ramai berurusniaga dengan DISB, Dr Wan Hasnan mewujudkan dua laman web iaitu www.docnan.com.my dan www.baju2u.com.