Páginas

Showing posts with label Muamalah. Show all posts
Showing posts with label Muamalah. Show all posts

Barang Cetak Rompak & Fotocopy Buku


Barang Cetak Rompak & Fotocopy Buku

  

pirate software


SOALAN
Saya ada menjalankan perniagaan fotokopi dan percetakan komputer secara kecil-kecilan salah satu universiti awam. Masalahnya ustaz, saya menggunakan perisian windows dan microsoft office yang pirate. Saya tahu bahawa tindakan saya ini salah tapi untuk mendapatkan yang original, harganya terlalu mahal.

Saya harap dapat Ustaz jelaskan hukum pendapatan daripada perniagaan yang menggunakan perisian pirate ini dan harap dapat ustaz berikan jalan untuk saya selesaikan masalah ini.....
JAWAPAN
Saya rasa jawapannya sudah jelas apabila anda sendiri telah mengerti bahawa ia adalah salah. Ini adalah kerana, harta intelek telah diiktiraf Islam sebagaimana difatwa oleh para ulama sedunia sebagai harta persendirian. Justeru kita tidak boleh mengambil dan menggunakan yang tiruan KHUSUSNYA apabila software tersebut diniagakan. Ini bermakna apabila seseorang menjadikan barang tiruan sebagai ‘tulang belakang' perniagaannya. Perniagaan tersebut adalah haram, hasilnya juga haram.
Ia adalah berdasarkan keputusan Majlis Kesatuan Ulama Sedunia ( Majma Fiqh Islami) dan juga keputusan Majlis Fatwa Eropah yang disebut oleh Syeikh Dr Yusof AL-Qaradawi.

DIA KAFIR
Ada orang yang cuba berhujjah mengatakan bahawa Bill Gates adalah kafir, so tiada masalah untuk menggunakan yang pirate. Selain itu ada juga yang menyatakan beliau sudah terlalu kaya, maka penggunaan anda tidak memberikan apa jua kesan kepada kekayaannya.
Hujjah ini adalah meleset dan tertolak dalam Fiqh Islam, kerana Muslim tidak dibenarkan untuk mencuri harta orang kafir (kecuali kafir yang sedang berperang dengan Islam seperti tentera Amerika yang berada di Iraq). Dalam keadaan tiada sebarang peperangan fizikal yang jelas, maka perisian windows adalah harta syarikat Microsoft dan pemilikan itu adalah diiktiraf oleh Shariah dan diharamkan untuk sesiapa sahaja dicerobohi sesuka hati. Dalilnya terlalu banyak, cukuplah Rasulullah s.a.w dan para sahabat berjual beli dengan orang bukan Islam, Yahudi serta Kafir Musyrik, semua itu menunjukkan umat Islzma tidak dibenarkan mencerebohi dan mestilah membelinya dengan cara yang halal.

Pendapatan hasil dari perniagaan perisian pirate adalah antara syubhah dan haram sahaja, tidak lain dari itu. Adapun, bagaimana untuk mengurus pendapatan atau hasil yang anda telah yakin haram, anda boleh membaca dalam artikel saya yang lepas.

PENGECUALIAN
Namun begitu, menurut sebahagian ulama, sekiranya para pelajar ingin menggunakan software untuk komputer peribadinya dan bukan untuk perniagaan, hukum mungkin lebih ringan terutamanya jika pelajar ini benar-benar ketandusan wang untuk mendapatkan yang original. Sedangkan ia amat memerlukan komputer dan perisiannya untuk tujuan pembelajarannya. Tatkal aitu, ada ulama yang mengharuskan atas asas : -
a-    ‘Hajat Mendesak'  dan kedudukan kewangan bermasalah. Berdasarkan kaedah Fiqh :
الحاجة تنزل منزلة الضرورة عامة كانت أو خاصة
Ertinya : "Suatu keperluan yang boleh jatuh dalam kategori terdesak samada ia berbentuk umum atau khusus" (Al-Ashbah Wa An-Nazair, hlm 89)

b-    Hanya untuk kegunaan peribadi dan tidak dikomersilkan.
c-     Bertempoh, ertinya apabila kedudukan kewangannya sudah baik, ia perlulah membeli yang original.
Demikian juga halnya keadaan para pelajar di Universiti. Sebagai contohnya terdapat pensyarah yang menjadikan buku tertentu sebagai silibus dan bahan rujukan. Setiap subjek mungkin sehingga 5-6 buku digunakan.
Sudah tentu, pelajar tidak mempunyai budjet untuk membeli buku-buku tersebut yang mungkin amat tebal dengan harga tinggi. Lalu tatkala itu, pelajar DIBENARKAN mem'fotostat' halaman TERTENTU yang berkait dengan pembelajarannya, ia juga diharuskan kerana hajiat.
Kembali kepada kes saudara, jika benar-benar saudara menghadapi kesukaran wang (hanya saudara dan Allah yang tahu) untuk membeli yang original, terdapat keringanan untuk anda menggunakan yang produk tiruan itu dulu buat sementara waktu. Ketika perniagaan sudah dapat menjana keuntungan yang baik dan stabil. Tiada lagi ‘keperluan mendesak', maka tatkala itu WAJIBLAH untuk bertukar dan membeli yang original.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
10 Jun 2008

Upah Dari Google Adsense & Nuffnang : Haruskah?



advert2.jpg


Salam ustaz, saya nak bertanya pasal satu advertisement blog yg bernama nuffnang ni. kalau kita letakkan subscribe nuffnang dan google adsense di blog, kita akan dapat duit upah kerana telah mengiklankan sesuatu produk. Soalan saya ialah, boleh ke kita ambil duit yang diberi dan apakah status duit tersebut? Harap UZAR dapat ulas. terima kasih
JAWAPAN
Saya tidak pernah meneliti perjanjian yang diletakkan oleh pihak Nufnang dan Google Adsense, justeru saya sukar untuk saya memberikan jawapan yang tepat dan specifik kepada kedua-dua penyedia ruang iklan tersebut.
Namun untuk tidak mengecewakan pihak yang bertanya, saya akan memberikan jawapan umum yang berupa panduan ringkas untuk menyemak status hukum dalam hal-hal yang melibatkan iklan dan bayaran darinya.
Sefaham saya, isu utama dalam hal ini adalah upah yang diberi kerana membenarkan ruang web atau blog kita digunakan bagi tujuan pengiklanan oleh pihak nuffnang dan google adsense, hasil dari kemudahan yang diberikan itu, kedua pihak tadi akan memberikan upah tertentu menurut cara tertentu.
Dari sudut aqad atau kontrak, susbstance atau inti utama kontrak sebegini jatuh dalam kategori aqad ‘menjadi wakil dengan tawaran upah tertentu' atau  wakalah bil ujr. Atau lebih tepat, dalam hal ini pemilik web menjadi wakil memanjangkan iklan syarikat-syarikat dan produk yang tersenarai dalam senarai panjang google dan nuffnang (kerana biasanya bukanlah google dan nuffnang mengiklan barangan mereka sendiri tetapi barangan dan produk pihak lain)
Dalam konteks ini, kita selaku pemilik web dan blog dikira menjadi wakil pihak nuffnang and google untuk menyebarluaskan iklan mereka, sebagai timbal balas, ganjaran akan diberikan kepda pemilik web atau blog, berdasarkan formula kiraan tertentu sama ada berdasarkan jumlah klik dan sebagainya.
Secara ringkasnya, bagi menentukan hukum dalam hal ini beberapa perkara perlu diambil kira iaitu:-

  • 1) Autoriti : Autoriti pihak yang menyediakan tawaran, dalam konteks ini adalah Nuffnang dan Google. Jika telah disemak dan dipastikan kedua-dua pihak mempunyai kredibiliti untuk melunaskan janji dan tawarannya, satu peringkat semakan hukum telah lulus. Peringkat ini penting bagi memastikan tiada unsur gharar dalam penawaran mereka.



  • 2) Upah dan cara kiraan : Jumlah upah dan cara pengiraannya MESTILAH diberitahu dengan jelas dan boleh difahami oleh pihak pelanggan (kita). Jika perkara ini telah berjaya dipastikan dan difahami sebaiknya, tatkala itu lulus peringkat kedua semakan Shariah.




  • 3) Kandungan iklan : Kandungan iklan yang dipaparkan. Jika sekiranya kandungan yang terbit di ruangan iklan yang disediakan untuk google dan nuffnang itu memaparkan iklan yang TIDAK HALAL, seperti gambar wanita tidak menutup aurat, permainan berunsur judi, iklan forex trading, bank riba dan pinjaman riba dan apa sahaja iklan yang tidak halal, tatkala itu upah yang diterima kerana mengiklankannya juga turut haram sebagaimana kandungan iklan tersebut.



  • Prinsip Islam jelas dalam hal ini, setiap promosi produk dan iklan yang haram adalah haram juga mempromosikannya, maka setiap upah atas promosi sesuatu yang haram juga jatuh di dalam kategori haram. Dalilnya terlalu banyak antaranya adalah laknat nabi terhadap setiap golongan yang terlibat dengan arak, demikian juga riba. Juga firman Allah yang melarang kerjasama dalam hal yang membawa dosa dan permusuhan.



  • Saya difahamkan bahawa terdapat fungsi ‘filter' atau pemilihan iklan yang boleh kita benarkan terpapar di web kita. Namun begitu, masih terdapat juga iklan-iklan yang tidak sewajarnya tersiar dan di luar kawalan pemilik web. Justeru, dalam menentukan keharusan penggunaan kedua-dua Nuffnang dan Adsense, hal seperti ini mestilah terlebih dahulu dipastikan terkawal dengan sempurna.



  • 4) Cara pembayaran ; Hal ini mestilah juga disemak dengan teliti bagi memastikan tiada unsur penipuan dan gharar.


KESIMPULAN 

Jika keempat-empat peringkat iaitu semua lulus dan berjaya mematuhi hukum Islam, tatkala itu upah yang kita perolehi juga turut halal, demikian juga sebaliknya.
Perlu diingat sekali lagi, tulisan saya ini TIDAK MEMBERIKAN SEBARANG PENGESAHAN terhadap penggunaangoogle adsense dan Nuffnang, ia hanya memaklumkan garis panduan yang perlu diambil kira oleh sesiapa yang ingin menyediakan ruang iklan kepada kedua pengendali iklan terbabit.
Sekian

Zaharuddin Abd Rahman
1 April 2010

Link