Páginas

Showing posts with label eTani. Show all posts
Showing posts with label eTani. Show all posts

Portal Iklan Tani (versi BETA)



Portal iklan Pertanian khusus untuk para usahawan tani yang ingin mengiklankan sebarang jenis perniagaan yang di ceburi. Terdapat pelbagai kategori yang tedapat pada portal tersebut.Portal tersebut masih lagi dalam proses pembikinan (Beta). Sama-sama lah kita majukan aktiviti Pertanian sesuai dengan perkembangan ICT pada masa kini.

layari lah di TANIFIEDS

PERTANIAN DARI SEGI PERSPEKTIF ISLAM


  PERTANIAN DARI SEGI PERSPEKTIF ISLAM

 
 Dalam Islam, kegiatan pertanian merupakan salah satu daripada pekerjaan yang mulia dan amat digalakkan. Kepentingannya tidak dapat dinafikan lagi apabila hasil industri ini turut menyumbang kepada hasil makanan negara selain merupakan sumber pendapatan petani.
Banyaknya ayat al-Quran yang menyebutkan mengenai hasil tanaman dan buah-buahan yang pelbagai menunjukkan betapa pentingnya bidang pertanian pada pandangan Islam. Antaranya Allah berfirman dalam surah Al An’aam ayat 99 yang bermaksud :
“Dan Dialah yang menurunkan hujan dari langit lalu Kami tumbuhkan dengan air hujan itu segala jenis tumbuh-tumbuhan, kemudian Kami keluarkan daripadanya tanaman yang menghijau, Kami keluarkan pula dari tanaman itu butir-butir (buah-buan) yang bergugus-gugus; dan dari pohon-pohon tamar (kurma), dari mayang-mayangnya (Kami keluarkan) tandan-tandan buah yang mudah dicapai dan dipetik; dan (Kami jadikan) kebun-kebun dari anggur dan zaiton serta delima, yang bersamaan (bentuk, rupa dan rasanya) dan yang tidak bersamaan. Perhatikanlah kamu kepada buahnya apabila ia berbuah, dan ketika masaknya. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda (yang menunjukkan kekuasaan Kami) bagi orang-orang yang beriman.”
Dari aspek akidah kegiatan pertanian dapat mendekatkan diri seseorang kepada Allah. Tanda kebesaran Allah dapat dilihat dengan jelas dalam proses kejadian tumbuh-tumbuhan atau tanaman. Apabila seseorang itu melakukan usaha pertanian, ia akan membuatkan seseorang itu lebih memahami hakikat sebenar konsep tawakal dan beriman kepada kekuasaan-Nya. Yang memberikan hasil tetap datangnya dari Allah Swt. 

Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ada menyebutkan mengenai pahala dan ganjaran orang-orang yang menjalankan bidang pertanian ini sebagaimana riwayat Anas bin Malik, Baginda bersabda: 
Maksudnya“Tiada seorang Muslim pun yang bertani atau berladang lalu hasil pertaniannya dimakan oleh burung atau manusia ataupun binatang melainkan bagi dirinya daripada tanaman itu pahala sedekah”(Hadis riwayat Al-Bukhari) 
Dalan riwayat yang lain, Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya“Tiada seorang muslim menanam dan bertani maka hasil pertaniannya itu dimakan oleh manusia, binatang dan sebagainya melainkan dia akan menerima ganjaran pahala sedekah – dalam riwayat yang lain: “melainkan dia akan menerima pahala sedekah hingga hari Kiamat”.(Hadis riwayat Muslim) 
Menurut Ibnu Hajar Al-Asqalani dan Imam An- Nawawi bahawa hadis-hadis yang dinyatakan di atas adalah penjelasan mengenai fadilat (kelebihan) bercucuk tanam dan ganjaran bagi orang yang melakukannya itu berterusan hingga hari Kiamat selagi tanaman itu masih kekal.  

Dalam hadis marfu‘ pula, daripada riwayat Abu Ayyub Al-Anshari, Baginda bersabda:
Maksudnya“Tiada seorang lelaki menanam sesuatu tanaman melainkan Allah Azza Wajalla menetapkan baginya ganjaran pahala sebanyak jumlah yang dihasilkan oleh tanaman tersebut”.(Hadis riwayat Ahmad) 
Oleh itu mengusahakan hasil bumi dengan bertani dan menjayakan tanah terbiar merupakan satu cara mendapatkan punca pendapatan yang halal lagi sah di sisi Islam.  
Menurut sejarah Islam, setelah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam tiba di Madinah, Baginda telah menggalakkan usaha pertanian agar ditingkatkan. Bumi Madinah ketika itu sememangnya subur perlu diusahakan dengan lebih giat. Dalam hubungan ini, kaum Muhajirin yang berhijrah bersama Baginda diaturkan supaya bekerjasama dengan kaum Ansar iaitu penduduk asal Madinah di dalam usaha-usaha pertanian. Hal seumpama ini sesuai dengan riwayat Rafi‘ bin Hadij bahawa di zaman Rasulullah telah diingatkan oleh beberapa orang bapa-bapa saudara Baginda iaitu Rasulullah melarang daripada perkara yang memberi manfaat kepada kami, lalu kami bertanya: Apakah perkara tersebut?:
Maksudnya“Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesiapa yang mempunyai tanah hendaklah dia mengerjakannya dengan bertani atau (jika dia tidak berupaya melakukannya) hendaklah menyerahkannya kepada saudaranya supaya diusahakan dan janganlah dia menyewakannya (sekalipun) hanya sepertiga, seperempat dan makanan asasi.”(Hadis riwayat Abu Dawud)
Hakikat betapa Islam sangat menggalakkan sektor pertanian jelas daripada peruntukkan yang ada di dalam syariah. Sebagai contoh, sesiapa sahaja yang mengusahakan tanah terbiar dengan jayanya akan mendapat hak milik kekal terhadap tanah berkenaan berdasarkan pendapat kebanyakan ulama. Peruntukkan ini jelas memberi intensif kepada pengusaha-pengusaha bidang pertanian yang mengusahakan tanah terbiar atau mati. Perkara ini disebutkan dalam riwayat Aisyah Radhiallahu ‘anha, Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya“Sesiapa yang memakmurkan (mengusahakan) tanah yang tidak dimiliki oleh sesiapa maka dia lebih berhak terhadapnya”.(Hadis riwayat Al-Bukhari)
Walau bagaimanapun kita telah pun mempunyai peraturan atau undang-undang tanah, maka tidaklah boleh menggunakan tanah dengan sewenang-wenangnya melainkan terlebih dahulu mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa. 
 Menanam Tanaman Haram Dan Membahayakan
 Walaupun Islam sangat menggalakkan sektor pertanian, namun Islam melarang aktiviti-aktivit pertanian yang dijalankan bagi tujuan yang meragukan atau tidak sah menurut Islam seperti menanam anggur bagi tujuan membuat minuman keras, penjualan dan pengeluaran bahan-bahan yang memudaratkan manusia seperti penanaman ganja serta lain-lain tumbuhan yang mengandungi racun. 
Dalam kitab al-Majmuk ada membincangkan kedudukan sama ada boleh atau tidak seseorang menjual anggur yang ditanamnya kepada seseorang yang diketahui akan atau kelazimannya menggunakan anggur itu bagi membuat minuman keras, maka pendapat yang shahih adalah haram bagi orang berkenaan menjual anggurnya kepada pembeli tersebut. (Al-Majmuk: 9/334) Walaupun menanam anggur pada asasnya diharuskan tetapi apabila jelas hasilnya itu akan digunakan untuk tujuan yang diharamkan, maka para petani perlulah berhati-hati ketika menjualkannya supaya ia bukan penyumbang kepada perkara yang diharamkan itu. 
Begitulah kedudukannya dengan lain-lain hasil pertanian seperti  ternakan, prinsip ini hendaklah dipegang demi memastikan bahan-bahan yang dikeluarkan itu tidak disalahgunakan bagi tujuan-tujuan yang tidak diharuskan oleh syarak.
Pemasaran Hasil Pertanian 
Dalam Islam kegiatan memonopoli dan menyorok sesuatu barangan (ihtikar) terutamanya barang makanan tidak dibenarkan dalam Islam. Dalam sebuah hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasalam bersabda:
Maksudnya“Jangan melakukan perbuatan memonopoli (kerana) perbuatan itu dilakukan oleh orang-orang yang berdosa”.(Hadis riwayat Muslim) 
Begitu juga dengan kegiatan orang tengah yang mengambil kesempatan di dalam urusan pemasaran sesuatu barangan termasuk barang makanan. Kerana itu Islam melarang urus niaga yang dinamakan talaqqa ar-rukban iaitu kegiatan menemui para pengeluar barangan termasuk para petani di luar bandar dan membeli barangan mereka sebelum mereka sampai ke bandar atau pekan dan mengetahui harga pasaran sebenar, dalam makna yang lain membeli dengan harga yang murah dan menjualnya dengan harga yang mahal, sehingga akhirnya akan menjejas kepentingan pengguna. Menurut Khatib as-Syarbini sah urus niaga tersebut jika tidak bermaksud sedemikian.(Mughni Al-Muhtaj: 2/36)  Perkara ini adalah berdasarkan larangan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallamdalam sabdanya:
Maksdunya: “Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasalam bersabda: “Jangan kamu membeli dagangan secara rukban (barang dagangan yang masih berada di atas kenderaan untuk dijual)”.
(Hadis riwayat Al-Bukhari & Abu Dawud)


 Penjelasan di atas menggambarkan bahawa Islam memberi perhatian dan sangat menggalakkan kepada sektor pertanian. Malahan Islam memberi panduan dalam memastikan segala aktiviti pertanian iaitu bermula daripada projek dijalankan hinggalah kepada proses pemasaran dan jualan menurut garis panduan yang jelas dan adil demi mengelakkan perbalahan di antara penjual dan pembeli.

Walau bagaimanapun, perhatian tidak seharusnya diberikan hanya kepada sektor ini dengan mengabaikan kepentingan sektor-sektor lain kerana matlamat utama kita ialah mencapai keseimbangan di dalam segala bidang untuk memenuhi tuntutan fardhu kifayah dalam rangka membangun negara dan ummah.
sumber: agrinature2u